Bulan yang penuh dengan barokah dengan terhidangnya bonus pahala yang tidak terhitung selain anasir-anasir syaitan dibelenggu muncul kembali. Bulan di mana terdapat satu malam yang dikenali juga sebagai malam 1000 bulan yang sudah semestinya diimpikan oleh segenap hamba Allah. Bulan ini juga menyaksikan masjid, surau, mussollah kembali dibanjiri mengikuti pengisian Tarawikh dan Witir. Kita terkejar-kejar untuk membuat amal di bulan yang turut memberi rahmah, kurniaan, keampunan dan keberkatan kepada hambaNya. Tadarus, sedekah dan amal-amal yang lain subur mekar di bulan ini. Ada juga yang terkejar-kejar dengan limpahan kemurahan rezeki berdagang di bulan mubarak ini. Bulan yang menyaksikan segala jenis kebaikan diamalkan seolah-olah ianya menjadi sebati dalam jiwa. Aku sehingga ke hari ini masih degil untuk meneruskan apa yang dilakukan dengan baik di bulan ini pada bulan-bulan lain sepanjang tahun, sepanjang masa Melihat sekumpulan jemaah tetap di surau tempat aku bertarawikh, jelas terpampang di wajah mereka persoalan kenapa tidak sepanjang masa surau ini dipenuhi seperti di malam-malam ini?Aku malu merenung wajah mereka lebih lama, kerana aku turut termasuk dalam persoalan itu. Aku sedar dan aku masih buat-buat tidak sedar. Semoga kedatangan Ramadhan tahun ini memberi syafaat, manfaat dan berkat yang besar kepada kita semua. Amin Ya Rabbal 'Alamin.
Labels: Monolog
0 Comments:
Post a Comment
<< Home